KUALA LUMPUR, 28 Disember 2015:

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan membidas kritikan terhadapnya mengenai isu dua kerja dengan menyatakan bahawa beliau sendiri melakukan tiga pekerjaan di dalam parti.

Kenyataan itu dibuat menerusi laman sosial, Twitter beliau yang menjelaskan bahawa beliau juga melakukan tiga pekerjaan untuk menampung kos sara hidup yang tinggi.

“Saya ada 3 kerja: Ahli Parlimen, Timb Menteri,Ketua Penerangan UMNO. Ramai dan di Msia yang buat #2kerja. Berusaha gigih cari rezeki yg halal.

“#2kerja jika kerja sedia ada waktu siang, boleh business online waktu mlm & hujung minggu asal tak jejas prestasi, boleh tambah pendapatan,” kata beliau didalam akaun twitter miliknya hari ini.

Sementara itu, Ahmad juga menyatakan bahawa pemimpin pembangkang juga melakukan perkara yang sama seperti Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan ketua pembangkang.

“#2kerja YB Lim Guan Eng ADUN/MP/CM. YB DS Wan Azizah ADUN/MP/Ketua Pembangkang. 3 kerja. Saya cadang kerja yg ada + business online. Marah??

“Orang kampong dah biasa 2 kerja. Pagi menyawit, petang kedai runcit. Pagi menoreh, petang menyawit. Pagi ambil upah menebas, petang bertukang buat rumah.

“Tak ada masalah apa pun. Rezeki halal, anak2 berjaya,” jelasnya.

Semalam Astro Awani melaporkan, amalan melakukan dua pekerjaan digalakkan oleh kerajaan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk dilakukan kerana kebanyakan rakyat di negara-negara utama juga turut melakukannya.

Namun cadangan itu mendapat kritikan para netizens yang mempersoalkan kualiti masa bersama yang bakal terjejas dengan tindakan itu serta polisi kebanyakan syarikat yang tidak membenarkan pekerja melakukan kerja sampingan.