KUALA LUMPUR, 26 Disember:

Rakyat bertanggungjawab memastikan sebarang berita yang diterima adalah sahih dan tepat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata berita tidak sahih yang disebarkan akan mewujudkan suasana tidak tenteram atau ‘a climate of fear’ dalam kalangan rakyat dan merosakkan reputasi negara di mata dunia.

Malah kata Najib, implikasinya amat besar terutamanya kepada ekonomi negara.

“Baru-baru ini saya lihat ramai menyebarkan berita mengenai kejadian letupan bom di Petaling Jaya, yang kini kita semua tahu bukanlah apa yang sebenarnya berlaku.

“Perkara seperti ini boleh dijadikan iktibar kepada semua untuk lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang berita, terutamanya yang diterima melalui media sosial dan aplikasi mesej,” katanya menerusi blognya, najibrazak.com hari ini.

Menurutnya lagi, berita tidak sahih yang disebarkan akan membawa kepada fitnah dari segi hubungan sesama manusia.

Ujarnya, fitnah akan membawa kepada perpecahan serta mengganggu-gugat keharmonian yang telah dibina bertahun lamanya seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

“Hari ini, dengan adanya teknologi di tangan, amat mudah untuk sesiapa sahaja sebarkan maklumat, tetapi malangnya ramai yang tidak ambil peduli mengenai kesahihan maklumat atau berita yang diterima dan terus menyebarkannya.

“Marilah kita lebih bertanggungjawab dalam menggunakan teknologi yang ada, dan Insya-Allah Malaysia akan kekal harmoni dan dalam peliharaan Allah SWT,” katanya.