KUALA LUMPUR, 25 Disember 2015:

Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 123.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini.

The Star Online melaporkan, Shairie Izwan Shuhairi dari Shah Alam sedang berkonvoi sebelum hilang kawalan dan terbabas menyebabkannya maut di tempat kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Salah seorang peserta konvoi yang enggan dikenali berkata, mangsa berusia 26 tahun itu adalah salah seorang peserta konvoi dari Selangor ke Perlis sempena cuti umum dan dijadualkan untuk pulang pada Sabtu.

Jurucakap polis dilaporkan berkata, insiden berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Twitter info trafik Plus melaporkan kemalangan itu menyebabkan kesesakan dari Sungai Dua menghala ke Permatang Pauh berikutan laluan tiga lorong itu terhalang kerana kemalangan terbabit.