KUALA LUMPUR, 23 Disember 2015:

Susulan daripada insiden pergaduhan di Kompleks Kota Raya, Ahad lalu, MCA menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan menghentikan segala jenis penipuan yang dilakukan peniaga tanpa mengira kaum.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, umum mengetahui bahawa terdapat amalan penipuan dalam pernjualan barangan secara terbuka.

Katanya, kegagalan pihak berkuasa dalam menangani masalah berkenaan menyebabkan pelanggaran undang-undang secara terbuka.

“Pengguna kecewa kerana menjadi mangsa dengan perlakuan ini.

“Agensi penguatkuasa berkenaan yang diberi kepercayaan untuk menangani masalah ini nyata gagal menjalankan tanggungjawab mereka.

“Mereka perlu bertanggungjawab dalam mengambil tindakan terhadap peniaga sekaligus menghentikan aktiviti haram ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada penguatkuasa berkenaan terbabit dalam amalan rasuah.

“Adakah mereka dirasuah atau terbabit dengan pelanggaran undang-undang secara terbuka oleh peniaga, dengan tindakan atau tiada tindakan oleh mereka?” katanya.

Ti berkata, kini tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas untuk membersihkan pasaran daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang sebelum pengguna mengambil tindakan sendiri sekali lagi.

Malah katanya, MCA berpendapat bahawa perkara itu perlu diselesaikan tanpa mengira latar belakang kaum.

“Tiba masanya untuk menghentikan peniaga yang korup tidak kira Melayu atau Cina.

“Kita perlu bergerak untuk membasmi kegiatan atau amalan yang tidak sihat ini,” katanya.