KUANTAN, 23 Disember:

Ada di kalangan pemandu lori bauksit di daerah ini dikesan sering melakukan kesalahan jalan raya, walaupun berulang kali dikompaun penguat kuasa.

Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Ahmad Sallehuddin Mat Nasir berkata, jabatan itu sendiri kerap melakukan operasi dari semasa ke semasa dan berjaya mengesan sikap degil pemandu lori berkenaan.

“Walaupun banyak kali dikenakan saman, namun ada di kalangan pengguna jalan raya, termasuk pemandu lori bauksit dikesan berterusan melakukan kesalahan sama, termasuk membawa muatan (dalam keadaan) bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan operasi di Jalan Pintasan-Pelabuhan, berhampiran Sungai Karang, lokasi kemalangan maut yang mengorbankan guru Sekolah Kebangsaan Balok, Nohalili Ahmad Zabidi, 40, petang Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya, terkena tayar daripada bahagian tengah sebuah lori membawa muatan bauksit yang tercabut.

Beliau berkata, jalan berkenaan sememangnya telah dikenal pasti sebagai laluan ‘panas’ kepada pelbagai jenis kenderaan melakukan kesalahan jalan raya, terutama di kalangan pemandu lori yang mengangkut bauksit.

Secara purata, katanya, JPJ mengeluarkan 30 kompaun dan saman setiap hari di laluan itu kepada pelbagai jenis kenderaan.

Beliau berkata, sejak 16 Disember hingga 21 Disember lalu, JPJ Pahang telah mengeluarkan 179 saman kepada lori sahaja, dengan 77 kes daripadanya melibatkan kesalahan membawa muatan secara bahaya membabitkan kompaun berjumlah lebih RM23,000.

Sehubungan itu, JPJ Pahang, katanya, akan terus meningkatkan penguatkuasaan dan operasi untuk mengesan pemandu yang ingkar mematuhi peraturan jalan raya.