PUTRAJAYA, 23 Disember 2015:

Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Thailand kerana membantu mempermudahkan urusan membawa balik jasad 13 rakyat negara ini yang terkorban dalam nahas jalan raya di Chiang Mai, Ahad lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menzahirkan perkara itu hari ini berkata kerjasama yang diberi termasuk daripada pihak polis dan imigresen selain pampasan berjumlah 1.6 juta baht atau kira-kira RM200,000 kepada waris mangsa.

“Saya bagi pihak Kabinet mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan kita harap pengalaman yang dilalui ini tidak menjadi trauma,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden Zambia Inonge Mutukwa Wina di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, 13 terbunuh apabila bas yang membawa 22 pelancong Malaysia terbabas selepas terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah pikap pada pukul 11.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) ketika dalam perjalanan dari Chiang Rai ke Chiang Mai.

Semua 13 jasad itu tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor awal hari ini sebelum dibawa dengan van ke Batu Pahat, Johor untuk urusan pengebumian.

Gabenor Wilayah Chiang Mai, Pawin Chamniprasarn pada Isnin berkata kerajaan Thailand bersetuju membayar pampasan berjumlah 1.6 juta baht kepada waris 13 mangsa manakala yang cedera pula diberi pampasan sebanyak 50,000 baht atau kira-kira RM6,000 bagi membiayai kos rawatan.

Mengenai pampasan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan kerajaan Thailand terhadap mangsa nahas berkenaan.