KOTA BHARU, 23 Disember:

Kerajaan Negeri Kelantan akan melupuskan hutang Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan (KAFA) berjumlah lebih RM500,000 bagi menceriakan arena bola sepak di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abd Fattah Mahmood, berkata langkah terbabit diambil bagi menunjukkan yang kerajaan negeri masih prihatin dengan perkembangan bola sepak negeri dan supaya dapat kembali bangkit pada musim.hadapan.

Bagaimanapun, katanya, dana bantuan yang sepatutnya masih belum dapat diputuskan secara muktamar dan akan dibincangkan kemudiannya.

“Sebagai sukan utama di negeri ini, bola sepak Kelantan perlu diambil kira dan selepas mengetahui kekangan kewangan yang dihadapi KAFA, maka kerajaan negeri bertindak mengambil langkah ini,” katanya sambil berharap bola sepak dapat dijadikan sukan utama di Kelantan pada tahun depan.

“Hasil mesyuarat hari ini kita, bagi pihak kerajaan negeri untuk 2015 ini, kita putuskan hutang sepatutnya dibayar KAFA sebanyak RM517,974.10 dilupuskan.

“Keputusan ini adalah sebagai salah satu tanda sokongan kerajaan negeri kepada pembangunan bola sepak dibawah KAFA.

“Sebelum ini saya umumkan kutipan levi yang sebelum ini adalah lebih RM500,000. Menteri Besar sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium beri diskaun 25 peratus tinggal lagi RM300,000 lebih. Dari RM300,000 lebih, bila KAFA dengan kekangan kewangan dan buat rayuan maka kita bersetuju untuk lupuskan,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, hari ini.

Abd Fattah berkata, kerajaan negeri bersetuju sepertimana yang dibincangkan dan berharap KAFA membawa pembangunan kepada trek dan sebagainya dengan peruntukkan yang diperolehi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, seperti yang diketahui, Perbadanan Stadium memperolehi pendapatan hasil caj kepada penyewa dan levi daripada kutipan perlawanan.

“Dalam keadaan ini, kita amat maklum dengan kekangan ditangung KAFA dan kita cuba cari alternatif lain cuma dari sudut kita nak bagi peruntukkan wang dan yang lain-lain itu, buat masa ini kita masih belum buat keputusan muktamad.”

Tambahnya, apa sahaja bayaran yang sepatutnya dibayar KAFA, kerajaan negeri bersetuju untuk melupuskan hutang berkenaan.

“Di sini saya mahu maklumkan yang kerajaan negeri tidak pernah tidak melihat kepada pembangunan bola sepak di Kelantan.

“Saya berharap media nyatakan dengan jelas tidak ada satu masa pun kita tidak beri perhatian kepada pembangunan sukan bola sepak negeri,” katanya yang bakal memaklumkan kepada pihak KAFA mengenai keputusan kerajaan negeri itu dalam masa terdekat.