KUALA LUMPUR, 22 Disember:

Seorang lelaki yang dipercayai suspek utama dalam kejadian kebakaran membabitkan enam kereta di kawasan letak kenderaan, bersebelahan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Taman Jaya, ditahan malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 malam tadi, di sekitar Petaling Jaya.

Menurutnya, suspek yang berusia 20-an itu akan dibawa ke mahkamah di Petaling Jaya untuk permohonan reman, sebelum siasatan diteruskan.

“Permohonan reman akan dilakukan pagi ini,” katanya.

Dalam kejadian tengah hari semalam, enam kereta terbakar, selepas seorang penunggang motosikal membaling bom petrol ke dalam salah sebuah kereta itu.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada sikap cemburu, gara-gara isteri suspek keluar bersama pemilik kawasan tempat letak kenderaan itu.

Suspek dikatakan dalam proses penceraian bersama isterinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, kerana perbuatan khianat dengan api.