JOHOR BARU, 22 Disember:

Polis Johor akan membantu mengiringi kenderaan yang membawa mayat mangsa tragedi bas Chiang Mai sebaik tiba di negeri itu.

Difahamkan bahawa mayat mangsa yang terbabit akan diterbangkan ke Lapangan Antarabangsa Senai sebelum dibawa ke Batu Pahat di Johor.

Batu Pahat terletak kira-kira 100km daripada ibu negeri itu iaitu di tengah-tengah negeri di selatan tanahair Malaysia.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata bahawa polis di negeri itu sudah bersiap sedia untuk membantu membawa pulang mayat mangsa ke Batu Pahat.

“Kami (polis) akan melakukan apabila yang kami termampu untuk melancarkan perjalanan semua pihak, terutama di kawasan yang memerlukan kawalan polis dan ketenteraman awal,” katanya kepada The Rakyat Post ketika dihubungo hari ini.

Wan Ahmad berkata, polis dari pelbagai daerah dari Johor Baru ke Batu Pahat sudah dimaklumkan mengenai laluan yang dicadang akan digunakan dan diarahkan bersiap sedia.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengguna jalan raya, terutama di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan jalan-jalan utama, bekerjasama kepada pihak berkuasa dan memberikan keutamaan laluan kepada konvoi yang akan membawa mayat mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Batu Pahat, Assistan Komisioner Din Ahmad, berkata trafik daerah dan bahagian ketenteraman awam juga telah dimaklumkan mengenai kemungkinan mayat mangsa akan tiba tidak lama lagi.

“Anggota polis akan ditempatkan di sepanjang laluan utama dari susur keluar lebuh raya di Ayer Hitam ke pekan Batu Pahat bagi membantu melancarkan penghantaran pulang mayat.

“Ketika ini kami menunggu pengesahan ketibaan,” katanya.

Dilaporkan, mayat 13 warga Malaysia yang terkorban dalam kemalangan bas di Chiang Mai, Ahad lalu dijangka dibawa pulang ke tanahair, hari ini.

Difahamkan, pegawai Thailand dalam proses mengendalikan soal siasat bersama ahli keluarga mangsa yang terbabit.

Dua penerbangan Hercules C130 – satu milik Tentera Udara Diraja Malaysia, dan satu ihsan kerajaan Thailand – sedang bersiap sedia untuk menerbangkan mayat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor.