KUALA LUMPUR, 22 Disember:

Kekecohan yang berlaku di Kompleks Kota Raya, Ahad lalu masih meninggalkan kesan terhadap peniaga dan bilangan pengunjung ke kompleks tersebut.

Jika sebelum ini, kompleks tersebut dipenuhi dengan warga kota tidak mengira warga asing atau tempatan, namun insiden itu memberikan impak besar terutamanya kepada peniaga alat telekomunikasi.

Tinjauan The Rakyat Post mendapati kira-kira 60 peratus premis yang menjual alat telekomunikasi lumpuh selepas insiden kekecohan itu.

kota raya 2
Tinjauan The Rakyat Post mendapati kira-kira 60 peratus premis yang menjual alat telekomunikasi lumpuh selepas insiden kekecohan itu. – Foto TRP/Noraizura Ahmad

Peniaga yang ditemui mendapati masih meneruskan aktiviti mereka walaupun bimbang kejadian yang sama berulang lagi.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Lai berkata, susulan kejadian itu, perniagaannya terjejas kerana tidak ramai pengunjung.

“Tempat ini sering dipenuhi dengan orang ramai tetapi selepas kejadian ianya semakin berkurangan dan sudah tentu menjejaskan perniagaan,” katanya.

Tinjauan mendapati premis yang dirosakkan ketika insiden itu masih ditutup dan terdapat notis pemindahan ditampal di hadapan pintu premis.

kota raya 3
Tinjauan mendapati premis yang dirosakkan ketika insiden itu masih ditutup dan terdapat notis pemindahan ditampal di hadapan pintu premis. – Foto TRP/Noraizura Ahmad

Difahamkan, kebanyakan premis yang ditutup dipercayai dimiliki oleh individu atau syarikat yang sama.

Semua premis itu ditutup kerana dikatakan takut diserbu oleh pihak berkuasa atau individu lain.

Turut ditempatkan di kompleks tersebut beberapa orang pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak semalam bagi memantau dan memudahkan pengguna untuk membuat laporan sekiranya berlaku penipuan dalam urusan pembelian.

Difahamkan, KPDNKK turut menempatkan pegawainya di Kompleks Pertama dan Plaza Low Yat bagi tujuan yang sama.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dilakukan, seorang pemilik premis berang apabila wartawan cuba mendapatkan komen berhubung insiden Ahad lalu dan cuba mencuri perhatian apabila gambar pekerjanya diambil.

Tindakan pemilik premis itu menimbulkan perhatian orang ramai yang berkunjung ke pusat membeli belah.