KUALA LUMPUR, 21 Disember:

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini tampil menafikan dakwaan yang mengatakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia itu menyokong kumpulan pesara kerajaan Melayu berorientasi sederhana (G25).

Menerusi akaun Facebooknya, Asri menjelaskan beliau sendiri mengkritik terus kepada pihak mereka dalam beberapa isu termasuk sikap tidak profesional apabila anggota mereka mendedahkan perjumpaan tertutup mereka dengan ‘beberapa tokoh politik yang mereka temui’.

Menurutnya lagi, ia sekaligus tidak menggambarkan mereka sebagai kelompok professional dan beliau telah nyatakan hal ini langsung kepada mereka.

Golongan Syiah Saqqaf dan Ahbash menyebarkan kononnya saya menyokong G25. Itu tidak benar.

“Juga anggapan salah seorang mereka bahawa minum arak sesuatu yang tidak perlu dibesarkan bahkan itu sesuatu yang normal. Itu juga tidak wajar,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, sejak 2007 beliau menyatakan tidak boleh ada sewenang mengintip privasi orang lain dalam maksiat peribadi.

Kata Asri, beliau mengkritik pihak yang pihak sibuk mencari maksiat tertutup tapi membiarkan maksiat terbuka di atas pentas hiburan, rasuah, mungkir janji kepada rakyat, suami pukul isteri, suami tidak bayar nafkah isteri dan walaupun pelbagai aduan diangkat, hal-hal itu banyak yang didiamkan oleh pihak tertentu.

“Saya menyatakan bahawa perlu ada garis panduan yang kemas dan patuh prinsip syariah dalam operasi mencegah zina. Operasi boleh tetapi dengan syarat yang kemas dan benar-benar memelihara prinsip menjaga dosa tertutup.

“Perbuatan mengupah intipan ataupun membawa wartawan adalah menyanggahi syariat. Saya telah tulis artikel mengenai hal itu sejak 2008. Pihak Ahbash sengaja mewujudkan pembohongan dan pihak G25 salah andaian,” ujarnya.