JOHOR BARU, 20 Disember:

Dua suspek yang dipercayai menghina Institusi Diraja Johor melalui media sosial, telah ditahan di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Pahang, semalam.

Dua lelaki itu didakwa menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Facebook.

Mereka mendakwa Sultan Johor membina sebuah litar perlumbaan, dengan menggunakan wang rakyat, manakala Tunku Mahkota Johor didakwa tidak mengerjakan solat.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kedua-dua suspek kini direman empat hari, mulai semalam, untuk membantu siasatan berdasarkan laporan yang dibuat bulan lalu.

“Polis akan menyiasat mereka menghina kerabat diraja Johor di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Semalam, sepasukan polis dari Balai Polis Kluang membantu Jabatan Siasatan Jenayah Johor, menahan seorang lelaki berusia 36 tahun pada jam 3.15 pagi, di Triang, Pahang.

Polis turut menemui sebuah telefon pintar Samsung dan Asus dengan gambar Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail, dipercayai dimuat naik ke sebuah laman Facebook yang dikatakan menghina kerabat diraja Johor.

Dalam operasi berasingan, sepasukan polis dari Johor Baru Selatan menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di pangsapuri Desa View Tower, off Jalan Genting Kelang, di Kuala Lumpur, pada jam 8.40 malam.

Penyiasat percaya suspek ada kaitan dengan pemilik Facebook “POH POCONG” yang menghina kerabat diraja Johor, baru-baru ini.

Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit Samsung daripada suspek untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, polis masih menyiasat beberapa kes lain berkaitan penghinaan terhadap kerabat diraja itu dan percaya lebih banyak tangkapan akan dibuat tidak lama lagi.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial untuk menyebarkan kenyataan berbaur fitnah atau hasutan yang boleh mencemarkan kredibiliti kerabat diraja ataupun mana-mana individu,” katanya.

Beliau turut meminta masyarakat menggunakan laman sosial secara profesional, dengan mengambil kira perkara sensitif yang boleh menyinggung perasaan orang lain.