KUALA LUMPUR, 18 Disember:

Kedai vape baru tidak akan lagi dapat ditemui di Kuala Lumpur apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berhenti mengeluarkan lesen vape.

Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pengurusan Penjaja-Penjaja Kecil DBKL, Ibrahim Yusof dilaporkan sebagai berkata bahawa pihak berkuasa tempatan itu sudah berhenti menerima permohonan dan malah, menolak satu permohonan berhubung perkara itu.

“DBKL tidak akan menerima permohonan daripada peniaga vape dan tidak akan mengeluarkan lesen. Satu permohonan peniaga ditolak baru-baru ini,” beliau dipetik sebagai berkata kepada The Malaysian Insider.

Laporan itu kemudian menyatakan beliau sebagai berkata, DBKL masih membincangkan langkah yang akan dibuat terhadap pengusaha vape sedia ada.

Tindakan itu adalah susulan pengumuman pengharaman oleh kedua-dua negeri Johor dan Kelantan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberikan tempoh kepada pengusaha vape sehingga 1 Januari 2016 untuk menghentikan operasi perniagaan mereka.

Kerajaan negeri Kelantan kemudian mengikut jejak langkah dengan turut mengeluarkan arahan larangan yang berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.