KUALA LUMPUR, 18 Disember:

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Ketua 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas sesi soal jawab dengan Pengerusi semasa syarikat pelaburan negara itu, Arul Kanda Kandasamy.

Ahli PAC, William Leong, berkata perbincangan dengan Arul Kanda sejak dua hari lalu memberi tumpuan terhadap perancangan masa depan kerana beliau baru saja menyertai 1MDB tahun ini, selepas hutang berlaku.

“Hari ini, Arul membentangkan pelan rasionalisasi mengenai bagaimana 1MDB akan menggunakan aset mereka untuk membayar hutang yang ada.

“Kami di PAC, mengikut terma rujukan, kami memberi tumpuan terhadap tadbir urus, iaitu bagaimana masalah timbul.

“Kerana Arul baru menyertai (syarikat) tahun ini, sedangkan masalah sudah pun timbul, dua hari ini adalah untuk mengetahui bagaimana untuk menyelesaikan hutang dan kami meminta Pengerusi untuk memanggil pihak yang bertanggungjawab ketika hutang dibuat,” katanya kepada pemberita di luar pintu masuk Parlimen selepas prosiding hari ini.

Mereka yang akan dipanggil balik termasuk bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Beliau berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahril Azral Ibrahim Halmi juga akan dipanggil, bagaimanapun ahli PAC, Tony Pua berkata, Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin belum memutuskan hal itu.

Pua, yang turut bertemu media di luar pagar Parlimen selepas mesyuarat hari ini, berkata tarikh 19 dan 20 Januari depan ditetapkan untuk Lodin dan Mohd Bakke dipanggil.

“Sebahagian ahli meminta Shahril dipanggil semula, bekas CEO, Hazem (Abdul Rahman) dan yang lain-lain juga.

“Tetapi, mengenai permintaan itu, (Datuk) Hasan belum memutuskannya lagi,” katanya.

Tanpa mendedahkan lebih lanjut mengenai soal jawab hari ini dengan Arul Kanda, Pua berkata, ada soalan yang dijawab Arul dan ada juga yang dielakkan, tetapi beliau menyifatkan sebagai `itu hak dia’.

“Tetapi, banyak perkara penting berlaku sebelum dia menjadi CEO.

“Maka, hari ini adalah penjelasan mengenai perancangan akan datang,” tambahnya lagi.

Beliau berkata lagi, PAC masih belum membuat sebarang perbincangan selepas soal jawab itu, maka, adalah tidak sesuai untuk beliau mengulas samada berpuas hati atau sebaliknya terhadap prosiding hari ini.

“Secara peribadi, jawapan yang diberikan tidak sempurna, tetapi ini bukan pandangna PAC, ini pandangan peribadi saya,” katanya.

Kedua-dua, Leong dan Pua kemudian ditanya mengenai alasan di sebalik penangguhan pembentangan laporan akhir audit mengenai 1MDB, yang kedua-duanya menjawab, tindakan itu adalah bagi menunggu dokumen yang diperlukan.

“Kami diberitahu mereka baru menerima dokumen baru daripada 1MDB dan ada dokumen yang mereka belum terima bagi laporan akhir audit dan ia dijangka selesai dalam tempoh dua bulan,” katanya.