JOHOR BARU, 17 Disember:

Polis Johor merampas sejumlah 190 peralatan vape dan 6,924 botol e-cecair vape bernilai kira-kira RM380,000 dalam serbuan pertama terhadap kelengkapan vape selepas perintah yang dikeluarkan oleh Sultan Johor.

Operasi besar-besaran pada tengahari Selasa lalu, menyaksikan kerjasama agensi penguatkuasaan membabitkan polis; Kementerian Kesihatan (Cawangan Farmasi); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Majlis Bandaraya Johor Baru; Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM);  Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kastam.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata operasi yang dijalankan pada jam 4 petang itu meliputi kawasan bandar di Century Gardens dan juga Larkin, di mana tiga premis diserbu.

“Serbuan dan rampasan dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Racun 1952, yang membolehkan penguatkuasaan dibuat terhadap peniaga yang dipercayai menjual e-cecair vape yang mengandungi nikotin tanpa lesen atau kebenaran.

“Kami (polis) ingin menekankan bahawa serbuan dan rampasan yang dibuat adalah mengikut undang-undang,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Wan Ahmad, berkata polis turut menahan empat lelaki berusia antara 23 dan 70 tahun dalam operasi itu, untuk disoal siasat.

“Suspek, dipercayai sebagai pemilik dan penjaga premis, kemudian dibebaskan pada hari yang sama selepas polis merakamkan kenyataan mereka.”

Ketua Polis Negeri itu berkata, premis yang diserbu turut didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan mempamerkan iklan tanpa permit, gagal mendaftarkan cawangan selain tidak mempamerkan sijil pendaftaran perniagaan.

Mengulas mengenai isu perniagaan vape di Johor dijalankan `dalam diam’ atau dijual secara dalam talian, Wan Ahmad, berkata pihak berkuasa akan memantau dan mengambil tindakan yang berpatutan.

“Polis adalah sebahagian daripada pasukan petugas anti-vape negeri, yang dipimpin Ketua Jabatan Narkotik Johor, Zulkifli Ali dan kita akan terus melakukan serbuan.

“Polis akan turut melakukan serbuan di rumah jika kita mendapat maklumat bahawa ada antara mereka yang menjalankan perniagaan mereka di rumah,” amaran Wan Ahmad.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memerintahkan larangan terhadap vape dan perniagaan berkaitan vape pada 29 November lalu dan larangan di seluruh negeri berkuatkuasa pada 1 Januari tahun depan.