KOTA KINABALU, 15 Disember:

Polis sedang menyemak dengan pihak berkuasa Filipina, bagi mendapatkan pengesahan sama ada mayat tanpa kepala yang dijumpai di selatan Filipina adalah milik rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen.

“Kami tengah semak, tunggu pengesahan,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dalam jawapan ringkas melalui aplikasi WhatsApp, malam ini, ketika diminta mengulas laporan media Filipina mengenai penemuan jasad tanpa kepala oleh pihak berkuasa negara itu,

Media Filipina hari ini melaporkan, mayat tanpa kepala itu dijumpai di Sitio Lungon-lungon, Parang, di Pulau Jolo, pada Isnin lalu, oleh anggota tentera dari Briged Infantri Ke-501 Filipina.

Sebelum ini, Then, 39, dilaporkan dipenggal pengganas Abu Sayyaf pada 11 November lalu, dengan satu kepala yang dipercayai miliknya dijumpai, namun belum ada pengesahan mengenainya sehingga kini.

Then diculik dari Restoran Ocean King di Sandakan, pada 14 Mei lalu, bersama pengurus restoran berkenaan, Thien Nyuk Fun, 50.

Namun, Thien dibebaskan kumpulan penculik itu pada 8 November lalu dan selamat kembali ke pangkuan keluarganya.