KUALA LUMPUR, 15 Disember 2015:

Tentera Filipina menemui mayat tanpa kepala dipercayai milik warga Malaysia, Bernard Then Ted Fen di Parang Sulu, semalam.

Menurut laporan Globalnation Inquirer, tentera dari Briged Infantri 501 melakukan pencarian di kawasan Sitio Lungon-lungon di Barangay Lanao Dakula dan menemui mayat berkenaan.

Laporan itu menyebut, Jurucakap Tentera dari Pusat Arahan Mindanao Barat, Mejar Filemon Tan Jr berkata, ujian DNA akan memberikan jawapan kepada persoalan itu.

“Ia akan berpandukan kepada ujian DNA untuk mengenal pasti sama ada ia sepadan dengan kepala yang ditemui bulan lalu,” katanya.

Bernard Then yang merupakan jurutera berusia 39 tahun itu diculik di Sandakan, Sabah dan dipenggal pada 17 November lalu oleh kumpulan Militan Abu Sayyaf.

Dia diculik bersama seorang lagi warga Malaysia, Thien Nyuk Fun, yang dibebaskan bersama seorang warga Korea Selatan, Hong Nwi Seong.

Thien dibebaskan sejurus selepas kumpulan terbabit dibayar 30 juta peso (RM2.7 juta) sebagai tebusan.