MELAKA, 14 Disember:

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih RM30 bilion, setakat hari ini, sejak pelaksanaannya pada April lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, ia merupakan kutipan daripada lebih 400,000 syarikat berdaftar dengan sistem tersebut.

Beliau berkata, nilai kutipan itu melebihi angka disasarkan, bagaimanapun enggan mengatakan sasaran berkenaan dan menjangkakan ia bertambah tahun depan.

“Setakat ini, kami (JKDM) belum diberikan sasaran (untuk kutipan tahun depan),” katanya selepas menutup Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015, di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Bukit Baru, hari ini.

Seramai 250 penguasa kastam menerima sijil masing-masing, selepas menjalani latihan selama lapan minggu dan Ruslyana Farahana Ruslee dipilih sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Matrang berkata, JKDM telah mengisi lebih 1,000 pegawai di bawah bahagian GST jabatan tersebut.

“Kakitangan yang kita ada ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa GST dan mengisi kekosongan mereka yang pencen dan bersara. Mereka ditempatkan di setiap negeri di seluruh negara, mengikut cabang dan kekosongan,” katanya.