KUCHING, 14 Disember:

Dua wakil rakyat DAP Sarawak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram Bersih 4 di Kuching, lima bulan lalu.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen bersama Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping didakwa menyertai perarakan haram dari Jalan Borneo ke padang Song Kheng Hai, di mana perhimpunan Bersih 4 dianjurkan pada 29 Ogos lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Amelati Parnell menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dan 14 Januari ini bagi sebutan semula kes serta 3 Mac nanti untuk pendengaran kes.

Perkembangan baru ini susulan dua pegawai polis menemui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dudong, Yap Hoi Liong di tingkat bawah tanah Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Rabu lalu, kerana menyangkakan beliau adalah Chong, disebabkan muka kedua-duanya agak mirip.

Mereka kemudiannya memberitahu Yap mahu menyerahkan kertas pertuduhan kepada “YB Chong”, sebelum menyedari tersalah orang.

Chong yang juga Adun Kota Sentosa membangkitkan isu itu di DUN pada hari berikutnya, dengan mempersoalkan jika tindakan polis menyerahkan kertas pertuduhan atau sebarang dokumen mahkamah kepada wakil rakyat di dalam bangunan ketika DUN bersidang, adalah wajar.

Speaker DUN, Datuk Mohammad Asfia Awang Nassar memutuskan polis boleh menyerahkan kertas pertuduhan kepada Chong dalam kawasan bangunan DUN, ketika bersidang atau melalui Speaker atau mana-mana pegawai DUN.

“Kertas pertuduhan yang diserahkan kepada Chong lebih bersifat jenayah dan bukan sivil, maka ia tidak melanggar ketetapan DUN,” kata¬†Mohammad Asfia ketika menyampaikan keputusan itu di DUN.

Pihak berkuasa negeri meluluskan penganjuran perhimpunan Bersih 4 Kuching, dengan syarat ia perlu diadakan mengikut cara sivil dan tiada perarakan dibenarkan.

Pendakwaan dijalankan peguam kanan persekutuan, Muhammad Iskandar Ahmad bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Taufik Md Yusof dan Poh Yin Tinn.

Chong dan Tan pula diwakili peguam, Yap Hoi Liang, Chong Siew Chiang, Wong Kin Wei dan Alan Ling Siew Kiong.