KUALA LUMPUR, 13 Disember:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan seorang yang lemah hanya kerana beliau mencari keamanan dan bukan peperangan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Merujuk tindakan Najib yang juga Presiden Umno mengajak semua ahli partii itu yang bersengketa supaya kembali bersatu dan memperkukuhkan parti pada
penghujung Perhimpunan Agung Umno 2015 yang berakhir semalam, Salleh berkata, ia mengambil seorang pemimpin yang kuat untuk mengampuni mereka yang telah berpaling tadah terhadap mereka.

Katanya, di sebalik kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap Najib dan tercalarnya imej beliau, Perdana Menteri masih menghulurkan tangan persahabatan kepada lawannya, apabila beliau dengan mudahnya boleh memalukan mereka.

“Najib menunjukkan beliau boleh melawan dan beliau juga boleh menjadi dermawan serta seorang lelaki yang merupakan sifat sebenar beliau.

“Najib bersedia untuk memaafkan dan melupakan persengketaan demi kebaikan parti,” katanya dalam catatan terbaru di blog beliau, hari ini.

Mengimbas kembali krisis dalaman Umno yang tercetus antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam pada 1987, Salleh berkata, Najib pada masa itu telah memilih untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir demi semangat kesetiaan kepada presiden dan kepentingan parti.

“Walaupun Najib telah menunjukkan beliau boleh melawan jika perlu, beliau juga telah menunjukkan dia lebih suka tidak melawan, jika tindakan itu akan menyakiti parti,” katanya.

Jelasnya, masalah kepada tindakan ini ialah kadang-kadang orang akan membuat kesilapan, dengan memikirkan bahawa apabila seseorang itu diplomatik dan lebih suka pendekatan secara aman untuk menyelesaikan perbezaan, individu itu dianggap tidak berani.

“Mereka gagal melihat sudut positif perkara itu yang sebenarnya pendekatan itu boleh menjadikan seseorang itu budiman,” kata Salleh.