SEPANG, 13 Disember:

Dapur lima rumah di Kampung Baru Pekan Salak ditimbus tanah, berikutan kejadian tanah runtuh.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, bahagian dapur kelima-lima rumah teres setingkat itu ditimbus tanah setinggi satu meter, manakala seorang daripada penghuninya cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Yahya Md Sham berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku, berikutan pergerakan tanah di lereng bukit yang terletak berhampiran kawasan rumah, akibat hujan lebat semalam.

“Semua selamat, kecuali seorang penghuni mengalami cedera ringan. Bangunan (rumah) masih kukuh, hanya dapur ditimbus tanah,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Yahya berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan di tempat kejadian, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, kerana hujan masih turun di kawasan tersebut.

“Berdasarkan pemantauan kami, setakat ini keadaan terkawal,” katanya sambil menambah, Majlis Perbandaran Sepang akan membersihkan tanah di tempat kejadian.

Yahya berkata, sebaik menerima panggilan, pihaknya mengerahkan 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian.

Sementara itu, seorang daripada penghuni yang mahu dikenali sebagai Peng, 38, mengalami beberapa luka kecil.

Jelasnya, beliau sedang tidur di bilik yang terletak di bahagian paling belakang dalam rumah dan terjaga selepas serpihan siling terkena muka dan badannya.

“Saya terkejut apabila melihat keadaan bilik saya berselerak dengan serpihan batu dan kayu. Saya terus berlari ke ruang tamu,” katanya.