KUALA LUMPUR, 11 Disember:

Perhimpunan Agung Umno 2015 bermula dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pemimpin dan ahli berdiri bersama-sama menyanyikan lagu rasmi parti, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat manakala bendera Sang Saka Bangsa gah dikibarkan di hadapan ibu pejabat Umno.

Lagu tersebut sudah jadi sinonim dengan perhimpunan Umno selama hampir tiga dekad.

Pencipta lagu tersebut, pengarah muzik dan komposer terkenal, Datuk Johari Salleh berkata, dia cuba memaparkan apa yang terbaik daripada apa yang Umno wakili.

Berkongsi pengalaman penghasilan lagu itu, beliau berkata, inspirasi di sebalik lagu itu datangnya dari isteri bekas Perdana Menteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Saya telah didatangi oleh Tun Siti Hasmah pada tahun 1986. Beliau berkata semua pihak mempunyai lagu mereka sendiri, kecuali Umno.

“Ketika itulah saya dapat tanda-tanda bahawa dia mahu saya mengarang sebuah lagu untuk parti itu untuk digunakan sebagai suatu lagu kebangsaan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

johari salleh
Datuk Johari Salleh

Secara peribadi, Johari menumpukan sepenuh perhatian terhadap penulisan lirik dan melodi.

“Lirik dan melodi lagu ini, saya hasilkan berdasarkan semangat dan emosi dalam Umno.

“Pada masa itu, Umno berada di puncak dan lagu itu adalah bukti mewakili sejarah ketika itu dan saya berharap agar lagu itu akan terus digunakan sebagai lagu Umno selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, lagu itu mewakili intipati Umno.

Beliau berkata, lagu itu juga melambangkan semangat perpaduan dan misi Umno untuk mempertahankan maruah orang Melayu.

“Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, kata-kata ini merangkumi intipati dan sinonim dengan Umno,” katanya ketika ditemui di PWTC hari ini.

Mohd Ali berkata, lagu itu bukan sahaja lambang parti tetapi menandakan semangat juang yang ada pada semua orang Melayu.

“Lagu ini bermaksud perpaduan dan perjuangan kita sebagai orang Melayu. Lagu ini adalah penting dan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah,” jelas beliau.

Ahli Umno Kuantan, Abdul Hamid Hashim kongsi pendapat bahawa, kerana lagu itu tidak dapat dicari ganti.

“Lirik ‘bersama kita bersama, mendukung hasrat semua’ mempunyai makna yang cukup mendalam. Saya percaya setiap ahli Umno dapat merasakan semangat Umno kerana kami berdiri bersama-sama, bersatu dalam satu suara, nyanyian lagu parti,” katanya.

Beliau berkata, walaupun keadaan semasa dalam parti itu sedang dilanda kontroversi, jiwa Umno tidak boleh dicemari.

“Lagu ini mengajar kita untuk bertahan dan berdiri bersama-sama sebagai satu keluarga besar terhadap semua kemungkinan dan saya percaya bahawa kita boleh bertahan seperti lagu ini yang membakar semangat jauh di dalam hati semua ahli-ahli Umno,” katanya.