KUALA LUMPUR, 10 Disember:

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak wajar mengambil kredit atas kejayaan yang dikecapi oleh Umno sewaktu beliau menerajui parti.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Najib tidak pernah menganggap segala kejayaan yang dinikmati oleh Umno adalah usaha beliau seorang, sebaliknya sering menegaskan ianya hasil daripada usaha bersama daripada kepimpinan parti dan kerajaan.

“Beliau (Najib) adalah Presiden Umno. Jadi apa jua kejayaan Umno atau apa yang kerajaan nikmatinya semasa beliau adalah Presiden dan Perdana Menteri, dan semasa menjadi pemimpin pemimpin senior dalam Umno, dia bertanggungjawab terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan Presiden.

“Beliau berkata ia adalah usaha bersama (collective effort). Beliau tak pernah cakap semua adalah usahanya, tapi ia collective effort daripada kepimpinan, parti dan kerajaan.

“Terutama sejak enam tahun sebagai PM dan presiden, semua pencapaian yang dicapai, walaupun ia collective effort secara semula jadinya, tapi beliau patut dapat kredit sebagai pemimpin,” katanya kepada pemberita di PWTC di sini.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyifatkan Najib tidak wajar mengambil kredit kejayaan parti kerana beliau tidak pernah berbuat sedemikian.

Mengulas mengenai cadangan beliau menjadi orang tengah krisis di antara Presiden dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khairy merasakan ianya tidak perlu kerana kedua-dua pemimpin itu sudah lama berjuang bersama-sama dalam Umno.

“Saya rasa suasana hari ini walaupun pada awalnya menimbulkan kegelisahan tapi ucapan perasmian Presiden dan Presiden menyebut beliau memilih untuk menjadi seorang yang berjiwa besar.

“Saya rasa tak perlu mana-mana orang tengah. Hari ini oleh kerana Presiden sendiri telah mengatakan bahawa beliau bertindak berjiwa besar untuk memandang ke hadapan walaupun dalam ucapannya ada teguran terhadap semua yang telah melampaui batas parti, tapi saya rasa tindakan Presiden berjiwa besar dialu-alukan.

“Saya harap mereka yang dimaksudkan itu dapat menyambut apa yang Presiden telah sebut dalam ucapan beliau,” ujarnya.