KUALA LUMPUR, 10 Disember:

Walaupun masalah tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, bilangan perokok yang merokok di kawasan-kawasan di dalam Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semakin berkurangan sekaligus menjadikan hari ketiga Perhimpunan Agung Umno 2015 berjalan dengan lancar, hari ini.

Berdasarkan pemerhatian The Rakyat Post, beberapa kawasan yang sebelum ini penuh dengan para perokok dan vape, kini semakin menunjukkan pengurangan yang ketara.

Antara kawasan yang menyaksikan sebilangan besar orang merokok di dalam di PWTC adalah di kafe Riverside, tetapi pemerhatian di lokasi itu hari ini menunjukkan jumlah tidak seramai di hari pertama dan kedua pada perhimpunan kali ini.

Walau bagaimanapun, sesetengah perwakilan masih dilihat merokok di tempat lain di PWTC.

The Rakyat Post juga sempat merakam seorang perokok yang enggan mematuhi tanda-tanda larangan merokok yang ditampal di dalam kafe Riverside dan juga di dalam PWTC.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada perwakilan berhubung isu merokok, jika ada ahli-ahli parti ditangkap merokok di zon larangan merokok, ketika perhimpunan agung berlangsung.