KUALA LUMPUR, 9 Disember:

Golongan seperti ‘Wak Doyok’ dan ‘Tok Lebai’ perlu didekati supaya Umno tidak dilihat sebagai parti yang eksklusif.

Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin berkata walaupun Umno ditubuhkan untuk menjadi ‘khemah besar’ yang menjadi tempat berteduh bagi orang Melayu dari pelbagai latar belakang, tetapi masih terdengar rungutan parti Melayu itu terlalu eksklusif dan tidak membuka pintu secara luas dan ikhlas kepada semua orang Melayu dari pelbagai latar belakang.

“Golongan bandar yang profesional dan speaking omputeh dipandang serong. Kalau ada yang berpandangan progresif, terus dituduh pembelot bangsa. Para profesor yang hendak menyumbang kepada Umno, kalau sedikit kritikal, disisih dan dikatakan terlalu banyak teori, justeru disuruh duduk sahaja di menara gading.

“Anak muda bergaya hipster, bermisai Wak Doyok dikecam poyo. Tok Lebai berjanggut enam inci dengan jubah dan serban ditolak kerana mesti orang Pas katanya,” katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno di PWTC di sini.

Menurut Khairy, sokongan terhadap Umno mula terhakis disebabkan parti sudah tidak lagi raikan kepelbagaian yang ada di kalangan masyarakat Melayu.

“Bukan saya minta kita ambil ahli baharu di kalangan orang yang jelas menentang Umno dan perjuangannya. Parti politik mesti ada disiplinnya.

“Tetapi selagi mereka berpegang pada perjuangan agama, bangsa dan tanah air dan hormat pada tataetika parti, mengapa pula tiada ruang untuk mereka? Cukup-cukuplah Umno menjadi kelab yang eksklusif,” katanya.

Khairy juga mengambil kesempatan memuji usaha-usaha yang dijalan oleh Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun dan barisan exconya mendekati kumpulan anak muda Melayu.

“Walaupun ada kalanya kita dilihat seakan mendekati kumpulan pelbagai bangsa, tetapi realitinya, majoriti daripada kumpulan ini adalah anak-anak Melayu.

“Armand buat program dengan gamers, ramai Melayu. Jeffri jumpa buskers, juga ramai Melayu. Firdaus pergi jumpa NGO sana sini, ada yang Umno, ada atas pagar, pun ramai Melayu. Azwan Bro dengan vapers, lagilah ramai Melayu. Shahril dan Zuhri pula dengan profesional muda Melayu.

“Selepas ini, marilah kita masuk ke sekolah pondok pula, jemput guru agama, pensyarah, pekerja kilang dan pelbagai lagi golongan lain. Jemput mereka masuk Umno,” ujarnya.