KUALA LUMPUR, 8 Disember:

Cadangan mengehadkan tempoh Presiden Umno memegang jawatan selama dua penggal terlalu pendek, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Dalam reaksinya terhadap cadangan jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal, Khairy berkata, tidak banyak yang dapat dilakukan dalam tempoh berkenaan.

“Dua penggal ialah tiga tahun kali dua, apa yang boleh dibuat dalam enam tahun. Bagi saya cadangan itu terlalu pendek,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Perwakilan Bersama Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 yang bermula hari ini.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya di sebuah majlis, di Kampung Baru, semalam mencadangkan Umno mengehadkan tempoh presiden parti itu kepada dua penggal.

Menyatakan cadangan tersebut boleh dibincangkan, Khairy bagaimanapun menegaskan, tempoh memegang jawatan utama itu perlulah munasabah, bagi membolehkan Presiden Umno melaksanakan pelbagai perancangan demi kebaikan ahli parti dan rakyat.

Sementara itu, Khairy berkata, pergerakan itu akan membawa usul mengenai isu yang hangat diperkatakan generasi muda ketika ini pada perhimpunan tersebut, terutamanya berkaitan ekonomi dan kos sara hidup.