KUALA LUMPUR, 8 Disember:

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi catatan di Facebooknya menjelaskan, Islam mempunyai larangan untuk mengintip kesalahan orang lain.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza memetik pandangan dikemukakan Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya ‘Ulum al-Din yang menyatakan, hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pasukan pencegah mungkar), tanpa perlu melakukan intipan.

Pandangan beliau itu dilihat bertentangan dengan beberapa mufti, iaitu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohammad berhubung isu khalwat yang dibangkitkan kumpulan pesara kerajaan Melayu berorientasi sederhana, G25.

Jelas Mohd Asri lagi, sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya dan mengunci pintunya, maka tidak harus untuk mengintipnya dan Allah telah melarang hal berkenaan.

Beliau kemudiannya menggunakan kisah Umar dan Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara berkenaan yang sangat masyhur yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan tidak wajar.

Mohd Asri turut menjelaskan, tokoh kontemporari Islam, Dr Yusuf al-Qardawi juga membuat tegasan sama, iaitu kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat.

“Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya.

“Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya…dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran.

“Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana, Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat,” ujarnya memetik kata-kata Qardawi.

Semalam, Mohamad Shukri menyifatkan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Arif sebagai individu yang tidak mengetahui selok-belok agama dianutinya.

Ia susulan kenyataannya mendakwa khalwat merupakan ‘dosa peribadi’ yang tidak sepatutnya dihukum pihak berkuasa negeri.

Harussani yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia berkata, G25 perlu bertaubat, kerana cadangan mereka untuk meminda atau memansuh undang-undang anti khalwat boleh membawa kepada murtad.