KUALA LUMPUR, 7 Disember:

Rizal Mansor yang merupakan pembantu kepada isteri Perdana Menteri mendakwa, tuduhan berhubung sejumlah wang yang dibelanjakan bagi menyambut ulang tahun kelahiran Datin Seri Rosmah Mansor, adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai.

Rizal yang memuat naik perkara itu ke Facebook, merujuk satu catatan mendakwa RM79,000 dibelanjakan untuk menyambut ulang tahun kelahiran Rosmah.

Jelasnya, catatan itu hanya satu tindakan mengalihkan perhatian daripada isu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu dan bergambar dengan Puteri Sulu, Jacel Kiram yang merupakan anak perempuan Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan Lahad Datu, pada 2013.

Nurul Izzah dikritik, selepas gambar pertemuannya dengan Jacel tersebar di laman media sosial, awal bulan lalu.

“Mereka mahu mengalihkan perhatian daripada isu pertemuan antara Puteri Segambut dan Puteri Kiram.

“Ini sebabnya mereka membuat tuduhan-tuduhan ini,” demikian tulis Rizal.

Beliau berkata, gambar yang digunakan dalam catatan itu adalah daripada majlis di Filipina, tahun lalu.

“Jangan susahkan diri anda, catatan itu adalah mengarut.

“Saya akan tunjukkan satu keratan berita sebenar bertarikh 28 Mac 2014.

“Kepada pencipta-pencipta fitnah ini, mungkin anda boleh mencipta sesuatu yang lebih realistik dan Google di mana Rosmah berada pada hari itu,” demikian tulisnya.

Rizal turut berkongsi sekeping gambar mengenai artikel Bernama pada 5 Disember menunjukkan Rosmah menghadiri satu majlis dengan Kelab Umno Luar Negara.