KOTA BHARU, 6 Disember:

Meskipun keputusan haram atau tidak vape di Kelantan hanya diketahui selepas 16 Disember depan namun amaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengatakan akan membuat serbuan dan merampas peralatan vape sudah meresahkan kebanyakan peniaga di sini.

Pengerusi Pertubuhan Peniaga-Peniaga Vape Melayu (PPVM) Kelantan, Mohd Azlee Che Mohd Zaid berkata, pihaknya menyeru supaya kerajaan negeri mempertimbangkan isu pengharaman penjualan vape kerana 99.9 peratus peniaganya adalah Melayu.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri dirayu supaya memberi peluang kepada golongan muda ini berniaga dan seterusnya membantu perokok supaya berhenti merokok.

Katanya, sekiranya lesen vape tidak boleh diberikan, peniaga merayu dan mendatangkan supaya status perniagaan ini ditukar kepada barangan elektronik.

“Dibawah PPVM ada lebih 5,000 peniaga di seluruh negara dan 350 daripadanya adalah di Kelantan.

“Sekiranya vape diharamkan kami anggarkan seramai 3,000 orang bakal kehilangan pekerjaan. Yang menyedihkan kebanyakan pekerja ini golongan berpendapatan rendah dan sekiranya mereka kehilangan kerja sudah pasti memberikan kesan kepada keluarga mereka,” katanya.

Menurutnya, sekiranya vape diharamkan di sini, peniaga di sini bakal kerugian mencecah RM50 juta.

Jelasnya, modal minima bagi kedai vape adalah RM100,000 manakala bagi kedai lebih besar kosnya boleh mencecah RM800,000.

“Sepertimana diketahui, ada peniaga yang membuat pinjaman peribadi atau perniagaan mencecah RM500,000 semata-mata untuk memulakan perniagaan dan sekiranya pihak berkuasa bertindak mengharamkannya, peniaga berhadapan risiko muflis sekelip mata,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Azlee berkata, mengikut kerana kasar, jumlah penghisap vape atau rokok elektronik ini sudah mencecah 50,000 di negeri ini.

“Bayangkan, 50,000 ini sudah menukar tabiat merokok kepada vape yang lebih baik. Kita juga dapati 30 peratus mereka yang menggunakan rokok elektronik ini juga sudah meninggalkan tabiat merokok dan mahupun vape sendiri.

“Sekiranya dibenarkan (tidak diharamkan) kami akan membuat kajian terhadap vape dan e-liquid serta melantik doktor atau orang berkelayakan dan membentangkan hasil kajian meliputi kesihatan dan keselamatan pengguna.

“Kami juga akan memberi khidmat nasihat, kaunseling untuk membantu perokok supaya berhenti secara berperingkat selain memberikan tips cara betul menggunakan vape,” katanya.

Katanya, kajian tidak rasmi menunjukkan sebahagian pengguna vape adalah perokok tegar dan mengakui sudah tidak lagi merokok dan vape menjimatkan wang mereka.

Menurutnya, melalui vape juga boleh dijadikan sebagai usaha sama antara pihak berkuasa untuk kempen anti merokok dan menjadikan vape satu modul selain gula-gula getah, `nikotin patch’ dan lain-lain lagi.