JOHOR BARU, 6 Disember:

Kerajaan Negeri Johor menzahirkan ucapan takziah terhadap keluarga diraja negeri itu susulan kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim lewat petang semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemangkatan Tunku Abdul Jalil adalah berita menyedihkan buat semua rakyat Johor dan juga rakyat Malaysia.

“Kita kehilangan putera yang menjadi contoh dan mempunyai aspirasi yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam semalam.

Khaled berkata, personaliti Tunku Jalil mengingatkan semua mengenai rasa rendah diri dalam diri seseorang itu.

“Semoga sifatnya akan kekal dalam ingatan kami.”

Khaled berkata, negeri dan semua rakyat Johor mendoakan kesejahteraan Tunku Abdul Jalil dan semoga mendapat beliau dirahmati. Al-Fatihah.

Terdahulu, Tunku Abdul Jalil diumumkan mangkat di wad diraja Hospital Sultanah Aminah dekat sini, pada jam 7.10 malam, semalam.

Kemangkatannya diumumkan Yang DiPertua Majlis Jumaat DiRaja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Tempoh berkabung selama tiga hari akan dimulakan untuk semua rakyat Johor dan penjawat awam di negeri itu, bermula hari ini.

Bagaimanapun, keluarga diraja Johor akan berkabung selama tujuh hari.

Orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir kepada Tunku Abdul Jalil di Istana Besar di Johor Baru dari jam 9 pagi hingga 11.30 pagi.

Jenazah putera itu akan dibawa ke Makam Diraja Mahmoodiah di Johor Baru.

Tunku Abdul Jalil, 25, adalah anak keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Beliau dilahirkan di Johor Baru, Johor pada 5 Julai 1990 dan kemudian dinobatkan sebagai Tunku Laksamana Johor di Muar pada 2012 oleh ayahandanya, Sultan Ibrahim sempena ulang tahun kelahiran baginda.

Putera raja itu turut ditauliahkan sebagai inspektor polis dan memegang jawatan itu dalam Ketua Kakitangan Diraja Istana Johor pada Oktober tahun ini.

Beliau yang menghidap kanser tahap empat dikenali sebagai “Putera Rakyat” kerana pendekatan semula jadi dan mesra terhadap semua bangsa penduduk Johor. Sebuah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor turut dinamakan sempena namanya.