JOHOR BARU, 6 Disember:

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini meluahkan kesedihannya terhadap kemangkatan adiknya, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim petang, semalam.

Bagaimanapun, abang sulung itu menyifatkan adiknya itu yang juga Tunku Laksamana Johor, memberi kekuatan dan inspirasi kepadanya.

“Kepada adikku yang dikasihi… Dalam banyak malam yang berlalu, inilah malam yang paling sukar untuk saya,” muat naik Tunku Ismail pada laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail berkata, seluruh keluarga diraja Johor amat menyayangi dan merindui adiknya itu, susulan pemergiannya.

“Kamu yang sentiasa membuatkan kami tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku.

“Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri.

Post yang dimuat naik dalam kedua-dua bahasa Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, dan menerima lebih 37,000 likes, 1,900 komen dan 4,300 kongsi sejak dimuat naik pada jam 3.30 pagi tadi.

Putera berusia 31 tahun itu menambah lagi bahawa dia merinduinya adiknya itu dan berjanji tidak akan melupakannya.

“Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku.

“Semoga Allah merahmatimu, adikku. Saya sentiasa sayangkan kamu,” katanya pada akhir posting.

Petang semalam, Tunku Abdul Jalil meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit kanser yang dihidapinya di wad diraja Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru pada jam 7.10 malam.

Kemangkatannya diumumkan Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Tunku Abdul Jalil, 25, adalah anak keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Beliau yang sebelum ini menghidap kanser peringkat keempat dikenali sebagai `Putera Rakyat’ kerana pendekatannya dan sifatnya yang merendah diri secara semulajadi.