KUALA LUMPUR, 4 Disember:

Genap seminggu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memberi keterangan berhubung pertemuannya dengan anak sulung Sultan Sulu yang mengarahkan pencerobohan ke atas Lahad Datu, Jacel Kiram di Manila.

Kali ini, Naib Presiden PKR, Tian Chua pula tampil memberi keterangan mengenai isu kontroversi itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pagi tadi.

Beliau yang ditemani peguam, R. Sivarasa hadir kira-kira jam 11.25 pagi dan keluar sejam kemudian, selepas keterangannya direkodkan.

Tian Chua berkata, beliau dipanggil memberi keterangan pada minggu lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan atas kesibukan urusan kerja.

“Saya tidak ingin mengulas perkara ini, kerana pertemuan itu tidak ada sebarang unsur jenayah, jika ada kesilapan dari segi persepsi, Nurul Izzah sudah memohon maaf dan tidak perlu dipanjangkan.

“Kami beri kerjasama penuh untuk siasatan polis dan perkara ini perlu diselesaikan,” katanya di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau difahamkan, polis setakat ini tidak mengesan sebarang perbuatan jenayah susulan pertemuan itu.

Ahli Parlimen Batu itu turut menyelar tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional ‘membuli’ Nurul Izzah di Dewan Rakyat, semalam, yang merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Isu ini harus dihentikan polemiknya dan fokus kepada (perkara) lebih besar dan kepentingan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya pertemuan dengan Jacel Kiram itu dirancang terlebih dahulu.

Menurutnya, pertemuan tersebut adalah undangan pihak penganjur dan mereka hanya menjadi tetamu.

Sementara itu, Sivarasa berkata, keterangan yang diambil daripada kedua-dua Naib Presiden PKR itu, hanya untuk siasatan polis.

Menurutnya, tiada kertas siasatan dibuka dan mereka hanya menjelaskan tujuan pertemuan itu kepada polis.

“Kami tiada masalah untuk hadir beri keterangan dan tiada apa untuk disembunyikan,” katanya.

Beliau turut mendakwa, isu tersebut diperbesarkan kerajaan, kerana kad “bebaskan Anwar” yang ditunjukkan dalam pertemuan itu.

Menurutnya, tindakan tersebut mengundang kemarahan kerajaan, kerana pihak luar bersimpati dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipenjarakan.

Pertemuan yang dianjurkan Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia bagi Demokrasi, pejabat Datuk Bandar Manila serta pejabat Naib Presiden Filipina itu, dihadiri Nurul Izzah dan Tian Chua, pada awal November lalu, telah mendapat kritikan, selepas gambar anak sulung Anwar itu bersama Jacel tersebar di laman sosial.