KUALA LUMPUR, 4 Disember:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat negara ini menghentikan perbalahan dan menyebar serta mempercayai fitnah, dalam usaha menjamin kesejahteraan di Malaysia.

“Janganlah kita melayani perkara-perkara yang boleh mengalih perhatian kita daripada berusaha ke arah mengisi visi (mencapai status negara maju menjelang 2020) tersebut,” katanya dalam mesej terbarunya menerusi blog www.najibrazak.com, hari ini.

Beliau berkata, rakyat perlu berhenti melakukan kerja-kerja tidak bermanfaat itu.

“Setelah negara kita merdeka, perjuangan kita adalah untuk membangunkan negara, memodenkan negara kita dan seterusnya untuk mencapai status negara maju menjelang 2020,” katanya.

Destinasi ini, kata beliau, menjanjikan kehidupan lebih baik untuk semua.

Bagi Najib, matlamat ini sangat jelas dan “setiap hari saya, sebagai Perdana Menteri, memberi tumpuan sepenuh tenaga dan usaha saya untuk membawa Malaysia ke arah matlamat ini.

“Dalam hidup kita, kita perlu ada perjuangan. Perjuangan untuk berkhidmat kepada keluarga, agama, bangsa dan negara. Apabila berhasilnya perjuangan, barulah kehidupan kita bermakna,” katanya.

Beliau berkata, sebelum 1957, perjuangan adalah untuk mencapai kemerdekaan.

“Parti Perikatan yang diterajui Umno bersama-sama dengan rakan-rakan daripada kaum yang lain menumpu tenaga dan mempunyai ikatan solidariti untuk memperjuangkan kemerdekaan,” katanya.