KUCHING, 30 November:

Seorang ustaz kontroversi dari Kelantan yang ditukarkan ke sebuah sekolah yang majoriti masyarakat Iban di Sarikei dapat mengekalkan jawatannya sehingga diberitahu kelak.

Pengarah Pelajaran Negeri, Rokayah Madon berkata, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah membuat keputusan itu baru-baru ini dan menjelaskan bahawa masyarakat di sini telah dapat menerima kehadiran beliau.

“Biarlah beliau menjalankan tanggungjawabnya sekarang dan kami akan memantau kemajuannya dari situ,” kata Rokayah selepas menghadiri pelancaran bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Matu Baru di Kampung Bintawa di sini.

Keputusan Kementerian Pelajaran menugaskan Ustaz Roslin Che Mat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh Sarikei awal bulan ini, tidak disenangi oleh masyarakat majoriti Iban di situ, kerana risau jika anak-anak mereka dipaksa memeluk agama Islam.

Kebimbangan itu bermula apabila seorang pelajar Iban berumur 13 tahun di SMK Lutong membuat laporan polis terhadap seorang guru dari Semenanjung yang dihantar bertugas ke sekolah luar bandar yang memaksanya menukar agama tanpa persetujuan ibu bapa pada Mac lalu.

Dalam laporan itu, beliau mendakwa seorang guru dari Semenanjung yang dikenalinya telah membawanya ke sebuah rumah di Kuala Baram di mana beliau telah diajar menunaikan solat mengikut ajaran Islam, dan diberikan wang tunai sebanyak RM250.

Sejurus selepas itu, ibu bapa pelajar itu telah menulis aduan rasmi kepada pengetua SMK Lutong yang mendakwa, anaknya bukan sahaja diberikan duit, malah beliau juga diberikan nama Islam dan disediakan tag nama baru.

Berikutan peristiwa ini, kebanyakan ibu bapa di sekolah-sekolah luar bandar yang kebanyakannya beragama Kristian risau dengan kehadiran guru dari Semenanjung, terutamanya mereka yang berlatarbelakangkan agama.

Dengan itu, kerajaan telah mengarahkan guru yang terlibat dikeluarkan dari negeri itu kerana kegagalan untuk menghormati sentimen tempatan di sini.

Bagi kes Ustaz Roslin, Rokayah berkata, walaupun beliau adalah seorang guru agama dari Kelantan, namun beliau juga telah berkhidmat lebih daripada 30 tahun di negeri ini serta mahir dengan sensitiviti tempatan.

“Secara profesionalnya, kami tidak buta warna dalam isu pendidikan. Beliau telah berkhidmat sebanyak dua buah sekolah di negeri ini sebelum ini, dan keluarganya juga berada di sini bersama beliau.

“Setelah menghabiskan masa yang lama di Sarawak, kami percaya beliau akan lebih mengenali orang di sini. Oleh kerana kerajaan telah membuat keputusan, beliau akan kekal di sekolah itu dan kami akan terus memantau kemajuannya dengan bantuan dari masyarakat disini,” kata Royakah.