KUALA LUMPUR, 30 November:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan permohonan ekstradisi kepada pihak berkuasa Filipina, susulan penahanan dua suspek dipercayai terbabit dalam menculik dan membunuh rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, permohonan ekstradisi ke atas kedua-dua suspek itu akan dibuat dalam masa terdekat dan mereka akan disoal siasat di negara ini.

Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya sudah memaklumkan secara lisan kepada mereka (pihak berkuasa Filipina) untuk membawa suspek ke negara ini,” katanya selepas memakaikan pangkat kepada 21 pegawai kanan PDRM, hari ini.

Khalid berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan daripada semua aspek dan menghadapkan penjenayah terbabit ke muka pengadilan.

Difahamkan, dua suspek yang menganggotai kumpulan pengganas Abu Sayyaf ditahan Jumaat lalu, selepas dipercayai menculik dan membunuh jurutera berusia 39 tahun, pada 17 November lalu.

Media antarabangsa melaporkan, Then dipancung di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Then yang berasal dari Sarawak, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, pada 14 Mei lalu, bersama pengurus restoran itu, Thien Nyuk Fun, 50.

Thien bagaimanapun dibebaskan pada 8 November lalu.

Dalam perkembangan lain, Khalid mengesahkan terdapat cubaan menculik seorang ahli perniagaan warganegara Iran baru-baru ini di ibu negara dan beberapa suspek kes itu telah diberkas.

“Kita ada terima laporan itu dan telah menangkap beberapa orang yang disyaki terlibat,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.