JOHOR BARU, 30 November:

Lebih daripada seratus pemilik kedai vape termasuk dari Johor berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan masalah mereka sebelum larangan pengharaman vaping dikuatkuasakan tahun depan.

Gabungan di bawah pergerakan Johor Vapor itu berhasrat untuk mengetengahkan masalah selepas arahan diraja yang dikeluarkan Sultan Johor, semalam.

Antara kesukaran yang mereka hadapi termasuk tempoh masa lebih lama diperlukan dan juga persoalan mengenai premis perniagaan sedia ada dan juga nasib pekerja mereka.

Sehingga malam semalam, kira-kira 100 pengusaha perniagaan, yang kebanyakannya beroperasi di selatan Johor, berkumpul bagi mengadakan mesyuarat tergempar di restoran Banafee Village, dekat sini dalam usaha mendapatkan penyelesaian berhubung arahan itu.

Mesyuarat yang diketuai operator vape Johor yang terkenal, turut bersetuju untuk menulis memorandum menyatakan mengenai kesukaran mereka susulan keputusan pengharaman itu selain berhasrat mengemukakan rayuan terhadap kerajaan negeri.

Difahamkan, memorandum akan diserahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selewat-lewatnya Selasa petang, sebelum kerajaan negeri mengadakan mesyuarat khas berhubung larangan vape, esoknya.

Satu memorandum berasingan juga akan dihantar kepada Istana Johor untuk mengemukakan rayuan terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memberi kelonggaran berhubung isu itu.

Sumber yang menghadiri mesyuarat tertutup itu, berkata jumlah kehadiran tinggi kerana kebanyakan mereka terkejut dengan arahan diraja itu.

“Selepas perbincangan dibuat, kami bersetuju bahawa tempoh sebulan yang diberikan bagi melaksanakan larangan adalah tidak mencukupi.

“Kebanyakannya memerlukan lebih masa untuk mengurangkan beban stok peralatan vape sedia ada dan juga cecair perasa,” menurut sumber itu lagi ketika dihubungi The Rakyat Post.

Sumber itu juga berkata, isu yang dibangkitkan termasuk mengenai premis, kakitangan, dan juga untuk mendapatkan kembali jumlah pelaburan mereka.

“Ini antara topik utama yang dibangkitkan dan penganjur turut menyenarai nama kami dan cawangan pada mesyuarat itu.

“Sebahagian kami beroperasi di gerai dengan perbelanjaan minima, tetapi mereka yang beroperasi dari rumah kedai dan premis tanah, akan mengalami kesukaran.”

Difahamkan, daripada 100 wakil yang hadir, kira-kira 70 daripada mereka berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sebelum ini, kebanyakan dari pemilik outlet vape di Johor telah berdaftar dengan SSM dalam usaha bagi mengawal selia industri itu berikutan sekatan di seluruh negara oleh pihak berkuasa beberapa minggu lalu.

Sumber itu berkata, sebagai rakyat Johor, pergerakan itu menghormati arahan yang dikeluarkan Sultan, dan berharap suara mereka didengari kerajaan negeri.

“Sebagai arahan diraja, ahli pergerakan akan mematuhinya.

“Pada masa sama, ahli pergerakan juga mahu kerajaan negeri membantu mereka dalam hal ini kerana membabitkan mata pencarian mereka.”

Sumber itu mendedahkan sebahagian pemilik dan tuan punya perniagaan juga berharap larangan itu ditarik balik dan bersedia mematuhi kawal selia kerajaan.

Bagaimanapun, jika gagal, sumber itu mendakwa, kebanyakan mereka bersetuju meninggalkan perniagaan mereka dan keluar dari negeri itu untuk meneruskan hidup.

Semalam, Sultan Ibrahim mengarahkan vaping diharamkan di negeri itu berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Berdasarkan laporan The Star, pemimpin negeri itu dipetik sebagai berkata: “Semua kedai vape perlu ditutup pada 1 Januari dan beta tidak mahu mendengar sebarang alasan.”