KUALA LUMPUR, 29 November:

Kumpulan pemberontak Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan pihak yang memenggal kepala tebusan Malaysia di Filipina, dilaporkan ditangkap anggota tentera dan polis Filipina.

Portal berita tempatan, The Mindanao Examiner melaporkannya sambil memetik kenyataan pegawai yang mendakwa ahli kumpulan itu, Saddam Jailani ditangkap di Pelabuhan Jolo dan kini dalam tahanan Kumpulan Pengesanan dan Polis Siasatan Jenayah Kebangsaan Filipina.

Saddam dikatakan dikaitkan dengan pembunuhan mengerikan rakyat Malaysia, Bernard Then yang diculik bersama Thien Nyuk Fun selain warga Korea, Hong Nwi Seong.

Then, jurutera berusia 39 tahun diculik di Sandakan pada Mei lalu dan dipenggal kepalanya pada 17 November lalu manakala pengurus restoran, Thien, 50, yang turut dijadikan tebusan, dibebaskan selepas dilaporkan membayar tebusan 30 juta peso Filipina (RM2.7 juta).

Berdasarkan laporan berita itu, orang awam dari Kampung Bonbon di bandar Patikul memberi maklumat kepada angkatan tentera mengenai lokasi senjata pemberontak disembunyikan sehingga membawa kepada kejayaan menangkap salah seorang ahli kumpulan militan yang paling terkenal di Asia.

Turut dilaporkan, mereka berjaya menahan dua ahli kumpulan dari kumpulan pemberontak berasingan yang dinamakan `Pentagon’ di bandar Kabacan, utara wilayah Cotabato.

Kedua-dua mereka ialah Menu Maganaka dan Rex Bacana, dan daripada tangkapan, pihak berkuasa merampas satu senapang automatik, tiga peluru kaliber .45 dan 11 magazines.