KUALA LUMPUR, 26 November:

Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula sistem giliran menunaikan haji.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata hasil kajian jawatankuasa khas itu akan membantu pihaknya mencari satu kaedah bersesuaian bagi memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah Haji yang telah mendaftar.

“Ini kerana jika ikut sistem sekarang, bakal jemaah haji kalau daftar selepas lima tahun secara automatik baru nama akan naik.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang banyak anak-anak muda dapat tunai haji kerana sejak lahir ibu bapa terus daftar nama dengan Tabung Haji malah ada yang letak RM10,000 di dalam akaun simpanan anak-anak mereka dan apabila usia anak-anak mencecah 13 atau 14 tahun nama akan naik untuk pergi haji,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim Haji 1436 Hijrah di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, hari ini.

Abdul Azeez berkata sehingga kini jumlah pendaftaran haji melebihi 1.8 juta orang dengan tempoh menunggu mencecah hampir 77 tahun.

Menurut Abdul Azeez, jawatankuasa khas itu akan diketuai beliau sendiri dan akan ditubuhkan secepat mungkin.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pendeposit Tabung Haji yang telah mendaftar untuk menunaikan haji agar mengemas kini buku simpanan serta alamat bagi memudahkan proses penghantaran surat tawaran yang akan mula dihantar bulan depan.

“Kita minta semua yang telah daftar agar berbuat demikian seberapa segara di mana-mana cawangan Tabung Haji seluruh negara. Sebab sebelum ini ada kes nama naik tetapi bila kita pos surat tawaran mereka tidak terima sebab sudah tukar alamat dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez berkata beliau baru sahaja kembali dari sesi pertemuan bersama pihak muasasah Arab Saudi membincangkan pemberian wang pampasan oleh kerajaan negara itu kepada mangsa kren tumbang negara ini.

“Mereka (muasasah) kata jumlah dan kaedah pampasan akan diumumkan dalam bulan depan dan kemungkinan saya akan pergi lagi sekali ke sana selepas Sidang Parlimen ke-13 berakhir 3 Disember depan untuk mendengar keputusan terkini,” katanya yang juga anggota Parlimen Baling.

Pada 11 September lepas, lebih 100 jemaah haji terkorban termasuk tujuh dari Malaysia dalam insiden kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah.

Sehubungan itu, kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan akan memberi pampasan sejumlah Saudi Riyal (SR) 1 juta (RM1.3 juta) kepada waris jemaah haji yang meninggal dunia dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram itu, manakala SR500,000 (RM650,000) untuk jemaah haji yang mengalami kecederaan.