KUALA LUMPUR, 23 November:

Tujuh kementerian akan dipanggil untuk prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 3/2014 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Antara kementerian yang akan dipanggil, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (pengurusan subsidi beras ST15 peratus dan S15 peratus), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (program pembangunan sosioekonomi masyarakat orang asli (JAKOA)) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (Pengurusan projek-projek pembinaan sekolah menengah kebangsaan agama dan kemudahan lain yang berkaitan di Sarawak).

Turut dipanggil Kementerian Kerja Raja dan Kementerian Kesihatan Malaysia (projek naik taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat), Kementerian Dalam Negeri (pengurusan kuarters Agensi Anti Dadah Kebangsaan) dan Kementerian Pertahanan (projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional Putrajaya (Puspahanas)).

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata, prosiding tersebut dijangka akan bermula Februari disebabkan pihaknya sedang memfokuskan untuk menyelesaikan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berhubung pembentangan LKAN.

Kata Hasan, PAC berpendapat sesi ‘townhall’ yang diadakan Ketua Setiausaha Negara bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian diadakan lebih kerap.

“Pada masa sama, PAC juga mahu semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan Persekutuan termasuk negeri memperkasakan Unit Audit Dalam (UAD) masing-masing dalam usaha mengelakkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.