KUALA LUMPUR, 23 November:

Dianggar 500 nelayan pantai di Lekir, daerah Manjung Perak terjejas sumber pendapatan harian berikutan pencemaran laut yang semakin serius melanda kawasan tangkapan mereka.

Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu berpunca dari pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang di kawasan tersebut.

Tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati hidupan laut di Zon A antara 1 batu nautika hingga 8 batu nautika di sini telah berkurangan dan diancam kepupusan akibat pencemaran yang berlaku itu.

Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata selain ikan dan udang yang semakin berkurangan, ketam, kerang dan siput juga sukar diperolehi di kawasan ini kerana hutan paya bakau yang menjadi tempat pembiakannya telah dimusnahkan bagi pelaksanaan projek ternakan udang.

“Jika pencemaran laut tidak berlaku nelayan-nelayan di sini memperolehi antara 50 kg hingga 60 kg sehari tetapi sejak kejadian tersebut mereka hanya memperolehi antara 4 kg hingga 5 kg saja sehari.

“Manakala hasil tangkapan ikan pula merosot dari 500 kg sehari kepada 50 kg sehari. Beberapa jenis ikan berkualiti tinggi seperti siakap, yu, bawal dan senangin yang menghasilkan pendapatan lumayan kepada mereka sebelum ini juga semakin pupus dan jarang-jarang ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Perak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan digesa menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah yang dihadapi nelayan tersebut.

Katanya lagi, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 perlu dikuatkuasakan dengan tegas agar masalah ini dapat dikawal dengan berkesan.

“CAP kesal walau pun kejadian tersebut telah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil menyebabkan kehidupan nelayan di kawasan ini semakin terhimpit.

“Selain itu CAP turut meminta kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan membuat kajian terperinci dan menyeluruh mengenai kesan ke atas sumber laut akibat aktiviti ternakan udang bermula dari Sungai Teluk Tiga hingga ke Koyan yang telah memusnahkan beribu ekar hutan paya bakau di sini.

“CAP bimbang aktiviti tersebut boleh menjejaskan alam sekitar dan sumber perikanan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang jika kajian tidak dibuat dan laporan mengenainya tidak didedahkan untuk pengetahuan umum,” jelasnya lagi.

Beliau juga turut menggesa kerajaan Perak dan Jabatan Perikanan mengkaji semula industri akuakultur di negeri ini agar ia tidak mengundang kerosakan ke atas alam sekitar dengan lebih buruk lagi.