PETALING JAYA, 20 November:

Empat remaja maut selepas mandi bersama rakan di Tasik Ara Damansara, petang tadi.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.39 petang dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya berbegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, ketika bomba sampai di tempat kejadian, seorang mangsa yang berusia 14 tahun ditemui orang ramai dan usaha mencari tiga lagi mangsa yang dipercayai lemas.

“Tiga mangsa yang berusia 12 hingga 14 tahun ditemui kira-kira jam 6.05 hingga 6.08 petang tadi dan mayat empat remaja itu di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat,” katanya ketika
dihubungi.

Mohd Sani berkata, kes tersebut diserahkan kepada polis untuk siasatan selanjutnya.