KUALA LUMPUR, 20 November:

Pelbagai komen meledak berhubung gambar pertemuan antara Ahli Parlimen PKR, Nurul Azizah Anwar dan anak perempuan Jamalul Kiram III, Puteri Jacel Kiram, yang tersebar dalam salah satu platform media sosial, Twitter.

Gambar yang dimuatnaik oleh Cik Kiram di dalam akaun Facebooknya pada 9 November lalu, menunjukkan kedua-dua mereka berdiri rapat sambil memegang sepanduk kecil bertulis ‘Bebas Anwar’.

Gambar itu menyebabkan Nurul Izzah dilabelkan sebagai pengkhianat dan dikritik oleh pengguna media sosial yang menyifatkan kerana tindakan ‘mesra’ beliau bersama Kiram itu sebagai tidak menghormati rakyat Sabah dan mangsa yang terkorban semasa pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Isu itu menjadi ‘trending’ di Twitter apabila ramai mereka menggesa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ditangkap dan disoal siasat di atas perbuatan yang meragukan itu.

“Dimanakah sensitiviti Nurul Izzah apabila tergamak bermesra bersama Anak Sultan Sulu,” tweet seorang netizen, @VoGrassroots.

“Dangkal dan Tidak Sensitif. Mereka terlupa bagaimana wira negara sanggup berkorban mempertahankan Lahad Datu,” tulis seorang lagi pengguna Twitter, @hm_hanafi.

“Diharap kerajaan mengambil tindakan undang-undang dan menahan Nurul Izzah,” tweet @mt_tiara.

Manakala, Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan turut menulis dalam akaun Twitternya dan menggesa Nurul Izzah memohon maaf kepada rakyat Sabah berhubung isu terbabit.

“YB Nurul Izzah perlu meminta maaf. Jangan beri alasan. Ingat, dia dulu menyokong pembunuhan tentera kita dan mengambil alih Sabah!.

“Tetapi untuk YB Nurul Izzah bermesra & berjumpa seseorang yang secara terbuka mengisytiharkan sokongan terhadap pencerobohan tentera di Sabah adalah tidak boleh diterima,” tweet Abdul Rahman.

Tetapi ada juga yang tidak ambil peduli tentang isu itu.

“Sulu, Nurul Izzah, Sabah. Apa yang trending sangat?” tweet @lovegreenwhite.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Pemimpin Pusat PKR, Latheefa Koya menjawab isu itu dengan mengatakan bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak mempunyai bidang kuasa terhadap tindakan Nurul Izzah di luar Dewan Rakyat selepas seorang menteri mengarahkan untuk beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.