KUALA LUMPUR, 19 November:

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tony Pua tidak bersetuju dengan keputusan tidak akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa itu, meskipun Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berhak berbuat demikian.

Ini kerana, jelas Pua, tindakan itu akan menyekat PAC daripada memainkan fungsinya untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan.

“Saya tidak bersetuju, kerana fungsi PAC adalah memastikan elemen akauntabiliti di dalam pentadbiran kerajaan terhadap rakyat Malaysia.

“PAC bertanggungjawab untuk membolehkan rakyat tahu apa yang berlaku di dalam kerajaan, sama ada ia baik atau mereka perlu buat penambahbaikan dalam sesuatu perkara.

“Menyekat media daripada laporan PAC adalah tidak konduktif,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu bagaimanapun yakin Hasan tahu apa yang beliau lakukan.

“Pengerusi PAC ada haknya, jadi terpulang kepada beliau putuskan. Saya tahu beliau tahu apa perlu dilakukan.

“Parlimen sudah melantik Hasan, kita kena beri penghormatan kepada beliau. Apabila kita tidak bersetuju dengan beberapa keputusannya, kita kena hormat juga, sebab beliau yang buat keputusan,” katanya.

Pagi tadi, Hasan dalam satu kenyataan memutuskan tidak akan mengadakan sebarang sidang media selepas mesyuarat PAC, sebaliknya jawatankuasa itu akan mengeluarkan kenyataan bertulis rasmi, jika ada perkara yang hendak atau perlu dimaklumkan kepada media.

Keputusan itu dibuat, kerana Hasan kecewa dengan tindakan beberapa media melaporkan ‘ayat cari makan’ yang beliau tegaskan sekadar gurauan dan tidak harus dilaporkan, pada Rabu.

“Saya memaklumkan kepada petugas media bahawa percakapan saya itu mengenai ‘saya pun cari makan’ tidak harus dilaporkan, disebabkan ia adalah sekadar gurauan, kerana sebelum ini, saya menyatakan buat masa ini, tidak perlu untuk memanggil Perdana Menteri,” katanya semalam.