KOTA KINABALU, 19 November:

Kerajaan akan menghantar sampel DNA ahli keluarga Bernard Then ke Filipina, bagi menentukan badan dan kepala yang ditemui di selatan Filipina adalah milik rakyat Sarawak itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan rakan sejawatan di Filipina untuk memastikan ujian DNA dapat dilakukan secepat mungkin.

“Saya menjadikan (kes ini) seperti keluarga saya sendiri dan mahu ia (ujian DNA) dilakukan secepat mungkin. Kami cuba dapatkan sampel-sampel daripada keluarganya di sini dan akan hantar untuk dianalisis tidak lama lagi.

“Berapa lama diperlukan untuk membawa pulang mayat mangsa? Ia terpulang kepada Filipina, kerana kita perlu faham yang kita sedang berurusan di kawasan bahaya dan juga Abu Sayyaf.

“Kalaulah boleh, saya mahu bawa pulang mayat Then esok atau hari ini,” katanya selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 155 anggota Polis Diraja Malaysia dari Cawangan Khas yang bertugas ketika pencerobohan pengganas di Tanduo, Lahad Datu, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi sebarang pengesahan jika badan dan kepala yang ditemui di dua lokasi berasingan di selatan Filipina itu adalah milik Then.

“Kami telah dimaklumkan oleh rakan sejawatan kami yang mereka menemui satu kepala dan badan, tetapi tidak dapat disahkan apa-apa sehingga hasil ujian DNA diperolehi,” katanya.

Menurut laporan yang memetik pegawai Filipina, Then dipancung kumpulan militan Abu Sayyaf, kira-kira jam 4 petang Selasa lalu.

Kepalanya dalam satu guni yang bertanda “Bernard Then Ted Fen” ditemui seorang tukang sapu di Marina Street, Bandar Barangay Wall, Jolo, kira-kira jam 8.30 malam Selasa lalu, sebelum pihak berkuasa dibawa ke Barangay Kagay, Indanan, di mana mereka menemui satu mayat tanpa kepala, kira-kira jam 4.30 petang Rabu.

Jurutera elektrik berusia 39 tahun itu bersama pemilik Restoran Ocean King di Sandakan, Thien Nyuk Fun diculik sekumpulan lelaki bersenjata dari restoran makanan laut itu, pada 14 Mei lalu.

Thien dibebaskan pada 8 November lalu dan bersatu dengan keluarganya di Sandakan, keesokan harinya.