KUALA LUMPUR, 19 November:

Syarat-syarat tambahan yang dikenakan kumpulan militan Abu Sayyaf untuk membebaskan jurutera elektrik, Bernard Then menyukarkan pihak berkuasa Malaysia untuk memenuhi permintaan mereka.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Abu Sayyaf dan kumpulan perunding yang dilantik pihak berkuasa Malaysia pada mulanya telah mencapai persetujuan untuk membebaskan Then.

Bagaimanapun, pada saat-saat akhir, kumpulan militan itu bertindak meletak syarat-syarat tambahan yang tidak mampu dipenuhi, menyebabkan kumpulan militan terbabit tidak mengotakan janji untuk membebaskan rakyat Sarawak berusia 39 tahun itu.

“Kerajaan persekutuan dan negeri telah melakukan semua yang mampu untuk memastikan pembebasan Then. Kami amat sedih dengan apa yang berlaku ke atas Then.

“Mereka telah bersetuju untuk membebaskan dua tebusan itu, tetapi malangnya mereka mengenakan permintaan tambahan yang tidak disambut baik kumpulan perunding.

“Sudah tentu kami berharap dalam perkara ini, mereka akan menghormati hak asasi mangsa,” katanya yang merujuk kepada Then dan pengurus Restoran Ocean King, Thien Nyuk Fun, 50.

Tegasnya, walaupun laporan media antarabangsa telah mengesahkan kepala yang ditemui dalam sebuah guni berlabel “Bernard Then Ted Fen” adalah milik mangsa, namun pihak berkuasa Filipina membuat pengesahan itu.

“Kami akan terus bekerjasama dengan mereka dan pasukan perunding untuk mendapatkan maklumat yang disalurkan terus kepada polis di Malaysia.

“Pihak berkuasa Filipina akan menjalankan ujian DNA yang diperlukan untuk mengesahkan kepala (ditemui).

“Kami telah menghubungi keluarga Then melalui polis dan sedang bekerjasama supaya mayat mangsa dihantar kepada keluarganya, jika (kepala) itu terbukti adalah miliknya,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian pencegahan jenayah antara Malaysia dan Amerika Syarikat, hari ini.

Then dilaporkan dipenggal kumpulan militan Abu Sayyaf yang menculiknya serta Thien dari restoran makanan laut di Sandakan, pada Mei lalu.

Thien bagaimanapun dibebaskan pada 8 November lalu dan bersatu dengan keluarganya di Sandakan, selepas menaiki bot laju selama lapan jam.