KUALA LUMPUR, 16 November:

Sebanyak 13 kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira sejam, selain tanah runtuh di Bukit Kutu berhampiran Kampung Pertak di Kuala Kubu Baru, Selangor.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kesemua lokasi banjir yang terlibat bagaimanapun tidak membabitkan sebarang operasi pemindahan.

banjir shah alam1 (m)
Antara gambar banjir kilat di sekitar Lembah Klang yang dikongsikan di media sosial

“Antara lokasi yang terjejas teruk adalah di hadapan pasaraya Carrefour, Subang Jaya yang mengalami banjir sehingga menyebabkan dua buah kenderaan terperangkap.

“Namun, paras air kini semakin surut,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan lain termasuk Hospital KPJ di Seksyen 20, Shah Alam yang dimasuki air ketika hujan lebat turun dan pasukan bomba telah diarahkan ke lokasi untuk mengepam air keluar.

Kawasan lain yang terjejas termasuk Jalan Lapangan Terbang, Subang; Ara Damansara dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala ke Bangsar pula hanya mengalami limpahan air ke jalan raya dan kesesakan lalu lintas beberapa jam di sepanjang jalan.

Sementara itu, katanya, di Klang pula, parit konkrit di Jalan Dato Abdul Hamid 14, Jalan Kebun Nenas dan Taman Sentosa dipenuhi air namun tiada sebarang rumah dinaiki air.

Antara gambar banjir di Lembah Klang yang dikongsikan dalam media sosial.
Antara gambar banjir di Lembah Klang yang dikongsikan dalam media sosial.

Kawasan-kawasan lain termasuk Jalan Mawar, Jalan Cempedak, Jalan Telaga, Kg.Bukit Kerayong, Kapar; Jalan Kerongsang 10 & 11, Bandar Puteri, Klang; Taman Mesra, Klang; sepanjang Jalan Raja Nong dan Jalan Kebun Nenas di Klang; Kg Teras Jernang, Kajang; dan Jalan MRR2 berdekatan Shell Taman Melati di Gombak.

Katanya, semua kawasan-kawasan terlibat hanya mengalami banjir kilat biasa dan tidak memasuki kawasan rumah.