KUALA LUMPUR, 14 November:

Pinjaman wang dan juga hutang yang diambil oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan cara yang baik bagi melaksanakan perniagaan berkaitan pelaburan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekuitf 1MDB bahagian pelaburan, Arul Kanda Kandasamy, cara itu merupakan salah satu usaha untuk mewujudkan disiplin dalam melangsaikan hutang syarikat berkenaan.

“Seperti yang anda semua tahu, 1MDB mempunyai jumlah hutang sebanyak RM42 billion sehingga 31 Mac. Anda mungkin nak tahu kenapa mesti hutang?

“Apabila kita berhutang, ia secara tidak langsung mewujudkan disiplin, yang mana pinjam perlu dibayar dan prinsip yang mana ia perlu dikembalikan.

“Mereka perlu mematuhi tempoh jadual pembayaran itu untuk membayar balik jumlah yang dipinjam,” katanya kepada penonton yang hadir di dalam taklimat 1MDB hari ini.

Arul juga sekali lagi menegaskan bahawa jumlah hutang RM42 billion itu tidak hilang.

Beliau mendedahkan bahawa sejumlah RM18 billion telah digunakan untuk membeli stesen jana kuasa bebas daripada tiga syarikat swasta.

Manakala RM1.7 billion telah digunakan untuk pembelian hartanah termasuk projek-projek melibatkan Tun Razak Xchange (TRX), Bandar Malaysia dan juga Air Itam.

Menjelaskan berkenaan projek Bandar Malaysia dan TRX, Arul berkata kerajaan sedang melaksanakan sebaik mungkin untuk membangunkan tanah berkenaan.

“TRX dan Bandar Malaysia ialah satu lokasi yang strategik. Disebabkan ini, kerajaan telah memutuskan pembangunan kawsan itu akan dilaksanakan oleh kerajaan dan tidak diberikan kepada syarikat swasta.

“TRX bakal memunyai sistem MRT terbesar. 23 peratus daripada kawasan itu juga akan dijadikan taman awam dan kawasan awam.

“Pemaju swasta sudah tentu tidak akan mewujudkan infrastruktur sebegitu,” katanya.

Sementara itu, semasa sesi soal jawab beliau, Arul berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan Rafizi Ramli dan Tony Pua dalam perdebatan berkisar 1MDB.

Beliau ditanya demikian oleh peserta yang menghadiri taklimat tersebut hari ini yang majoritinya dihadiri oleh ahli Umno.