KUALA LUMPUR, 13 November:

Susulan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Rabu, beberapa laluan alternatif dibuka sementara bagi memudahkan pengguna.

Pengguna kini boleh menggunakan laluan alternatif daripada Bentong ke Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan lama Persekutuan FT 068 (KL-Bentong) bermula jam 11 pagi ini.

Menerusi kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kenderaan dari Plaza Tol Bentong perlu melalui jalan Persekutuan FT068 untuk ke Kuala Lumpur manakala kenderaan dari Kuala Lumpur perlu melalui jalan Gombak menuju ke jalan Bentong Lama.

Menurutnya, laluan tersebut hanya dibuka sementara dari jam 7 pagi hingga 6 petang kerana laluan itu turut mengalami beberapa hakisan yang masih dalam pemantauan Jabatan Kerja Raya Daerah Bentong bersama syarikat konsesi.

“Laluan ini dibuka kepada kenderaan ringan sahaja kerana laluan yang dilalui adalah terhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, laluan alternatif utama yang di gunakan bagi kedua-dua arah adalah melalui dua pilihan iaitu Pelangai-Batu Kikir-Seremban-Kuala Lumpur ataupun melalui Pelangai-Simpang Pertang-Kuala Klawang-Seremban- Kuala Lumpur.

Katanya, kenderaan berat dinasihatkan menggunakan laluan pilihan utama sebelum ini.

Menurutnya, laluan alternatif iaitu jalan lama persekutuan akan ditutup selepas Lebuhraya KL-Karak dibuka semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, seramai 45 anggota polis akan membantu mengawal lalu lintas dan ketenteraman.

Menurutnya, laluan lama Bentong-Gombak disahkan selamat untuk digunakan.

“Kami akan mengawal lalu lintas dan orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh mendapatkan maklumat di balai polis berdekatan,” katanya ketika dihubungi.