SHAH ALAM, 13 November:

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah takut untuk berhadapan dengan dan berhujah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung isu Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menjelaskan beliau secara peribadi telahpun berbahas selama 37 minit bagi menjawab kepada jawatankuasa sama melibatkan DEIG pada sidang yang lalu.

“Walaupun mengikut peraturan dewan saya tidak perlu jawab terus pada jawatankuasa dan penyata yang dibentangkan serta tidak mengikut peraturan kerana saya boleh cakap sekadar ambil maklum dan akan beri keterangan secara bertulis dalam sesi akan datang.

“Tetapi saya ambil tanggungjawab untuk menjawab soalan berbangkit kerana melihat ada kecenderungan untuk memutar belitkan fakta tentang penubuhan DEIG sehingga ia menjadi topik perbincangan hebat.

“Bahkan ada pihak cuba membuat ‘roadshow’ di seluruh Selangor, forum setiap malam kononnya rakyat mahu mendengar penjelasan tetapi saya lihat kerusi lebih banyak dari orang yang hadir sehinggakan ‘roadshow’ itu tinggal ‘road’ sahaja ‘show’ tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) berhubung saranan penambahbaikan struktur tadbir urus korporat MBI dan Anak-anak Syarikat (GLC) di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini,

Sementara itu, DUN Selangor turut meluluskan usul yang dibawa oleh Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar yang mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memberikan rawatan perubatan segera kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan penasihat ekonomi Selangor.

Jelas Azmin, usul tersebut sepatutnya dipersetujui semua ADUN Selangor tanpa mengira ideologi politik.

“Kita perlu ketepikan ideologi politik dan melihat isu ini¬† sebagai isu kemanusian serta hak asasi manusia.

“Tindakan kerajaan Selangor membawa usul tersebut di dewan negeri sebagai inisiatif¬† susulan penolakan beberepa kali oleh dewan rakyat untuk membahaskan isu kesihatan bekas Ketua Pembangkang itu di parlimen,” ujarnya.

Sementara itu, Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh menjelaskan Kerajaan Negeri Selangor akan menghantar surat kepada yang pihak terlibat dalam usaha memberikan rawatan kepada Anwar.

Ujarnya, surat tersebut akan dihantar kepada kementerian yang terlibat termasuklah Kementerian Kesihatan bagi mempercepatan rawatan yang sewajar diberikan dengan segera kepada Ketua Umum PKR tersebut.

Sementara itu, Adun Sungai Panjang-BN, Budiman Mohd Zohdi mempersoal rasional usul tersebut dibawa ke sidang DUN Selangor kerana ia dilihat tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan dan juga rakyat negeri berkenaan.

“Tidak perlu bawa usul Anwar Ibrahim, kerana tidak ada orang yang pakar untuk menjawab isu tersebut, lebih baik ahli parlimen pembangkang membawa isu ini ke parlimen,” tegasnya.

Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Adun Sungai Burong-BN, Datuk Mohd Shamsuddin Lias yang memberitahu sidang DUN bahawa Kementerian Dalam Negeri telahpun menjelaskan bahawa Anwar telahpun diperiksa dan dirawat oleh pakar perubatan sepertimana yang dijelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri.