KUALA LUMPUR, 13 November:

Haiwan babi cukup mengambarkan Melayu ialah masyarakat yang sensitif.

Bagi Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup berkata sensitiviti masyarakat Melayu terhadap haiwan itu bukan sekadar tidak boleh dimakan dan pegang tetapi semua perkara yang mempunyai kaitan dengannya.

“Haiwan babi adalah haram dipegang apatah lagi dimakan di kalangan orang Melayu, sudah pasti ia adalah sensitif tidak mengira dalam apa juga bentuk seperti imej, gambar mahupun permainan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurutnya, masyarakat Melayu Islam sudah semestinya tidak akan ke restoran Cina kerana menjual daging babi, berkongsi perkakasan memasak mahupun minum dari bekas yang sama.

Namun, atas dasar hormat menghormati kepentingan setiap kaum perkara ini bukanlah penghalang kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa bergaul dan hidup harmoni bersama selagi berpegang kepada sensitiviti masing-masing.

“Tidak ada masalah pada haiwan babi itu, cuma yang jadi masalah sekiranya ia boleh dianggap seperti sengaja untuk menyakiti masyarakat Melayu kerana kurang sensitif.

“Saya akui masyarakat Melayu memang sensitif mengenai isu babi, namun dengan wujudnya media sosial yang boleh memperbesarkan isu yang sensitif boleh mencetuskan kesan yang besar, maka nasihat saya berhati-hatilah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos berpendapat kemarahan masyarakat Melayu bukan kepada haiwan babi tetapi bergantung kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.

“Kita tidak salahkan babi, babi juga makhluk Allah. Kita perlu melihat sesuatu isu dahulu, bukannya nak marah suka-suka,” katanya kepada The Rakyat Post.

Beliau menegaskan, pertembungan kepelbagaian budaya di negara ini adalah berlandaskan rasa hormat serta memahami sensitiviti setiap kaum.

Selagi semua kaum prihatin dan peka dengan perkara yang disebutkan, tidak akan timbul kebencian terhadap haiwan babi dan ia tidak dianggap terlalu sensitif.

“Kita sebagai orang Islam sudah diajar dan dididik dari kecil bahawa babi merupakan haiwan yang haram, dan dari segi budaya bagi masyarakat kita babi itu menggelikan,” katanya.

BACA: Imej mainan babi diganti jadi burung

Sabtu lalu, Setiausaha Gabungan NGO Muslim Pulau Pinang yang juga Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP), Ahmad Yakqub Nazri memuat naik sebuah gambar permainan menyerupai bentuk babi di media sosial.

mainan
Sebuah gambar permainan menyerupai bentuk babi mula menjadi viral di laman-laman sosial baru-baru ini yang kemudiannya telah digantikan dengan haiwan kurang sensitif, iaitu burung. – Foto Facebook Ahmad Yakqub Nazri

Dalam postingnya itu, Yakqub menegaskan kerajaan negeri DAP bertanggungjawab dalam pemasangan kemudahan mainan di taman permainan itu yang kurang peka terhadap sensitiviti kaum dan budaya yang melibatkan orang Islam dan Melayu di negeri itu.

Buaian menyerupai bentuk babi yang terdapat di taman permainan, Padang Kota Lama Pulau Pinang telah diganti dengan bentuk burung sejurus isu ini menjadi viral di media sosial.

Terdahulu, Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Ang Aing Thye berkata, pegawai yang bertanggungjawab bagi projek itu telah dimaklumkan supaya mengemukakan laporan.

Jelasnya, siasat sedang dijalankan dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.